Selasa, Jun 18, 2013

TPP: Kezaliman Ekonomi Kurun ke- 21



Perkongsian Negara-Negara Pesisiran Lautan Pasifik atau Trans-Pacific Partnership (TPP) bermula dengan penubuhan Pacific Three Closer Economic Partnership (P3-CEP) dianggotai Singapura, New Zealand dan Chile dalam tahun 2002. Brunei menyertai pertubuhan itu dalam tahun 2005 dan namanya ditukar kepada “Trans-Pacific Strategic Economic Partnership” (TPSEP) atau Pacific 4 (P-4).

Dalam tempoh lapan tahun (2005-2013) berikutnya, pelbagai negara pesisiran lautan Pasifik yang lain, secara beransur-ansur, menjadi ahli rundingan (negotiating member) TPP. Kini, ahli TPP berjumlah duabelas terdiri dari Australia (menjadi ahli pada tahun 2008), Brunei (2005), Canada (2012), Chile (2002), Malaysia (2010), Mexico (2012), New Zealand (2002), Peru (2008), Singapura (2002), Amerika Syarikat (2009), Vietnam (2008) dan Jepun (2013).

Penyertaan penuh Malaysia bermula pada Rundingan Pusingan Ketiga yang berlangsung di Brunei pada 4-9 Oktober 2010 dan dikatakan Malaysia adalah salah sebuah negara penyokong kuat perjanjian TPP. Negara Jepun, setelah bertangguh lama kerana bantahan rakyatnya, menjadi ahli pada bulan Mac 2013.

Apabila Amerika Syarikat menyertai TPP dalam tahun 2009, ia muncul sebagai pemain dominan dalam mencatur perjanjian TPP meletakkan “Agenda Ekonomi Amerika” (sebahagian dari Ode Baru Dunia) di tempat paling atas, menelan agenda-agenda negara ahli yang lain.

Pada Sidang Kemuncak APEC tahun 2010, sembilan negara ahli TPP meluluskan cadangan Presiden Barrack Obama agar kesemua rundingan di bawah TPP diselesaikan pada bulan November 2011 (sebelum persidangan APEC berikutnya). Namun, sasaran itu tidak tercapai. Rundingan diteruskan sehingga tahun 2012 dan masih belum selesai sehingga kini (Jun 2013). Setakat ini, 16 pusingan rundingan telah diadakan bermula pada 15-19 Mac 2010 dan yang terakhir, pada 3-14 Mei 2013.

Perjanjian Perdagangan Bebas TPSEP yang ditandatangani Brunei, Chile, Singapura dan New Zealand pada 3 Jun 2005 mula dikuatkuasakan dalam tahun 2006. Kadar tarif telah diturunkan sebanyak 90% di negara-negara terbabit berkuatkuasa mulai 1 Januari 2006 dan bakal dihapuskan (0%) mulai 2015. Perjanjian TPSEP ini bukan sekadar mengenai tarif. Ia merupakan satu perjanjian perdagangan yang komprehinsif merangkumi pelbagai aspek seperti perdagangan barangan dan perkhidmatan, rule of origin, trade remedies, halangan teknikal kepada perdagangan, harta intelek, perolehan kerajaan dan dasar persaingan dan berbagai-bagai lagi. Perjanjian perdagangan bebas yang sedang dirundingkan di bawah TPP sekarang adalah perluasan dari perjanjian TPSEP dan ianya menjanjikan liputan yang jauh lebih komprehnsif dan, sebagaimana yang didakwa oleh pengkritik, merupakan perjanjian yang “restrictive” dan “lebih memihak” kepada negara-negara ahli yang lebih maju khasnya Amerika Syarikat dan syarikat-syarikat multi-nasional dari negara itu.

Perjajanjian TPP – bila dilihat perkembangan yang mutakhir ini - sebenarnya dipelopori, ditaja dan didominasi oleh Amerika Syarikat. Ianya bakal memberi implikasi dan kesan masa hadapan yang besar kepada pelbagai sektor ekonomi negara ahli termasuk kesan ke atas gunatenaga, kadar upah, aliran modal, pelaburan, kesihatan awam, alam sekitar, kebajikan dan banyak lagi perkara yang melibatkan kepentingan awam dan pelbagai stakeholder. Oleh yang demikian, pengkritik-pengkritik berpandangan perundingan TPP sewajarnya dijalankan secara telus dan lebih terbuka melibatkan pelbagai stakeholder. Ini tidak terjadi. Sebaliknya, perundingan TPP dijalankan secara rahsia dan kerahsiaan yang menyelubungi TPP disifatkan sebagai “unparalleled” – anggota pasukan paramilitary berkawal di luar dan sekeliling tempat mesyuarat dan helikopter pula berligar-ligar di ruang udara dan pihak media tidak dibenarkan membuat liputan.

Perundingan hanya melibatkan pegawai kerajaan negara-negara ahli dan wakil syarikat-syarikat multi-nasional yang majoritinya milik rakyat Amerika Syarikat. Dikatakan seramai 600 penasihat korporat syarikat-syarikat berkenaan hadir di dalam rundingan. Pelbagai stakeholders yang lain tidak langsung dilibatkan dalam perundingan. Malah, maklumat-maklumat mengenai TPP disorokkan daripada ahli-ahli Kongress Amerika Syarikat dan lawmaker dari negara ahli yang lain. Akibatnya, walaupun sebanyak 16 pusingan rundingan telah diadakan, amat sedikit maklumat yang didedahkan mengenai perkara-perkara yang dirundingkan, kemajuan rundingan dan kebaikan atau keburukan dari kewujudan TPP itu kepada negara-negara ahli. Maklumat-maklumat serpihan yang diperolehi pelbagai pihak, khasnya pengkritik-prngkritik TTP, datangnya dari dokumen yang dibocorkan.

Kenapa perjanjian TPP dirundingkan secara rahsia? David Brodwin, pengasas bersama dan ahli lembaga pengarah “American Sustainable Business Council” mendakwa TPP berselindung di sebalik agenda “untuk mengharmonikan tarif dan pelbagai peraturan perdagangan dan menggalakkan perdagangan bebas di kalangan negara-negara ahli” untuk mewujudkan “a stealthy delivery mechanism for policies that could not survive public scrutiny.” Ini bermakna, TPP diwujudkan bukan untuk menggalakkan persaingan tetapi untuk mengekalkan monopoli syarikat-syarikat gergasi dalam bidang perniagaan masing-masing seperti Warner dan Sony (hiburan), Merck dan Pfizer (farmasi), RTZ dan BP (perlombongan), Philip Morris (rokok), Wallmart dan Woolworths (peruncit), Merril Lynch, Westpac, AIG, Macquarie dan JP Morgan (sektor kewangan), Cargill dan Mosanto (perniagaan tani), Bechtel dan Veola (operator swasta bekalan air) dan banyak lagi.

Perjanjian TPP ditentang oleh pelbagai pihak. Penyokong-penyokong gerakan Anti-Globalisation misalnya, mendakwa perjanjian perdagangan bebas di bawah TPP memberi kuasa yang terlalu besar (unprecedented power) kepada syarikat-syarikat multi-nasional sehingga mengatasi dan melemahkan kuasa daulah (the power of nation states). Negara dikehendaki tunduk kepada syarikat-syarikat korporat, bukan sebaliknya, iaitu, syarikat korporat yang melabur di mana-mana negara sepatutnya tunduk kepada polisi dan undang-undang negara tuan rumah. Ini sesungguhnya adalah “model songsang globalisasi ekonomi dunia.” Juga, peruntukan-peruntukan perjanjian TPP melanggar hak-hak dan kepentingan pengguna dan pekerja dan mengkesampingkan kepentingan alam sekitar. Ini membawa kepada tuduhan bahawa TPP sebenarnya adalah “a wish list of one per cent” (iaitu, syarikat–syarikat multi-nasional milik negara ahli yang maju khasnya Amerka Syarikat) yang mahu terus menguasai dan memonopoli perdagangan dan ekonomi dunia tanpa mempedulikan kebajikan rakyat miskin di negara ahli yang lain.

Dari maklumat yang bocor dilaporkan bahawa dari sejumlah 26 perkara yang dirangkumi perjanjian TPP, hanya beberapa perkara yang ada kena mengena langsung dengan hal-hal perdagangan. Selebihnya difokuskan kepada hal-hal mengenai menjaga dan melindungi kepentingan syarikat-syarikat gergasi multi-nasional dengan memberi mereka pelbagai hak dan keistimewaan dalam urusan, rundingan dan penyelesaian perbalahan perdagangan. Oleh yang demikian, perjanjian perdagangan bebas yang sedang dirangka oleh sebelas buah negara pesisiran lautan Pasifik bukannya untuk membedayakan persaingan tetapi membina tembok kebal melindungi kuasa monopoli syarikat-syarikat multi-nasional negara maju, secara kebetulan atau tidak, kebanyakannya milik rakyat Amerika.

Perjanjian TPP, bila dimetrai, bakal mengandungi peruntukan-peruntukan yang sifatnya terlalu memihak kepada Amerika Syarikat dan kesannya menzalimi dan menindas negara-negara ahli yang lain. Antaranya:
Pertama, ia membolehkan syarikat korporat multi-nasional menyaman negara di mana ianya melabur dan beroperasi seandainya undang-undang dan peraturan dalam negara tuan rumah dituduh sebagai penyebab ianya mengalami kerugian. Di antara keistimewaan yang diberikan kepada syarikat-syarikat multi-nasional termasuklah, pertama, peruntukan yang menjamin mereka dilibatkan dalam merangka undang-undang baru di negara tuan rumah. Kedua, kerajaan tuan rumah wajib menerima pandangan mereka di dalam merangka undang-undang baru itu. Ketiga, jika pandangan mereka tidak diambilkira, maka sekiranya undang-undang baru itu memberi kesan negatif kepada nilai pelaburan atau merugikan mereka, maka syarikat multi-nasional berkenaan boleh menyaman kerajaan tuan rumah. Keempat, saman itu pula dibicarakan di mahkamah antarabangsa secara rahsia, dikendalikan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu atau Bank Dunia, bukannya mahkamah di negara tuan rumah. Ini bermakna undang-undang negara tuan rumah menjadi tumpul bila berdepan dengan kuasa baru syarikat korporat.

Kedua, negara-negara ahli TPP dipaksa tunduk kepada “agenda of the Big PhaRMA” yang mahukan kawalan monopoli yang lebih panjang ke atas ubat-ubatan yang mereka cipta dan keluarkan sebelum membenarkan versi generik dikeluarkan. Kesan peruntukan ini ialah menghadkan secara drastik akses rakyat negara ahli kepada “affordable medications” terutamanya golongan yang memang bergantung kepada ubat-ubatan generik yang jauh lebih rendah harganya berbanding ubat-ubatan berjenama.

Bab mengenai ubat-ubatan yang dibocorkan pada Februari 2011 menunjukkan bahawa wakil Amerika Syarikat telah mengemukakan, antara lain, perkara-perkara berikut di dalam rundingan: Menghendaki pelbagai peruntukan dimasukkan di dalam perjanjian memberi hak kepada syarikat-syarikat farmasi mengenakan harga yang tinggi untuk masa yang lebih panjang untuk ubat-ubatan yang mereka keluarkan, mendapatkan “patent” hanya dengan membuat perubahan kecil kepada ubat-ubatan yang sedia ada dan menghendaki negara-negara ahli meminda undang-undang berkaitan ubat-ubatan dalam negara masing-masing bagi membolehkan ubat-ubatan yang sedia yang dipersembahkan dalam bentuk yang baru diberikan “patent” baru. Peruntukan-peruntukan ini, yang dikenali sebagai “evergreen provisions,” adalah helah bagi membolehkan syarikat-syarikat farmasi mengekalkan kuasa monopoli ke atas industri farmasi dunia.

Pertubuhan “Medicins Sans Frontieres” yang menentang TPP mendedahkan bahawa kos rawatan pesakit HIV-AIDs meningkat dari USD295 setahun bagi se orang pesakit menggunakan ubat generik kepada USD10,400 setahun bagi seorang pesakit bila menggunakan versi “patent” dari ubat yang sama, kenaikan sebanyak 3,425%. Kos ubat-ubatan yang lain semuanya akan naik berganda-ganda sekiranya peraturan di atas diluluskan.
Ketiga, dalam hal berkaitan dengan harta intelek, perjanjian TPP mengandungi peruntukan-peruntukan yang menekan negara-negara ahli, misalnya, mana-mana individu, badan perniagaan dan organisasi yang melanggar undang-undang hakcipta akan dikenakan denda berupa perkhidmatan internet mereka ditamatkan. Ini bermakna negara ahli dikehendaki tunduk kepada sekatan-sekatan yang dikenakan oleh “Hollywood copyright cartels” termasuklah larangan menstorkan maklumat digital dalam fail sementara di dalam komputer tanpa kebenaran pemilik hakcipta dan memanjang jangka hayat hak cipta dari 70 tahun sekarang kepada 120 tahun. Juga, ada peruntukan yang menghendaki internet service provider mengawal (to self-police) aktiviti pengguna-penguna internet dan individu yang memuat turun perisian untuk kegunaan sendiri dikira sebagai melakukan kesalahan melanggar undang-undang hakcipta. Peraturan ini hanya akan menguntung Amerika Syarikat kerana ia adalah pengekspot bersih (net exporter) maklumat digital khasnya dalam industri hiburan.
Keempat, perjanjian TPP mengabaikan “food safety” melalui penghapusan keperluan “food labeling” mendedahkan negara-negara ahli kepada barang makanan import yang tidak menepati “national food safety standard.” Misalanya, dilaporkan syarikat rokok menghendaki supaya tiada apa-apa pun ditulis pada kotak rokok.
Kelima, mengenakan peraturan kewangan di mana negara-negara ahli dikehendaki membenarkan instrumen dan perkhidmatan kewangan berisko tinggi dipasarkan di dalam pasaran kewangan dan modal di negara-negara ahli. Juga, negara-negara ahli tidak dibenarkan melaksanakan dasar kewangan sendiri secara bebas dan tidak dibenarkan sama sekali melaksanakan langkah kawalan modal (capital control measures). Ini bermakna negara ahli dikehendaki membenarkan urusniaga alat-alat kewangan derivatif, spekulasi matawang dan lain-lain “manipulative financial instruments” di pasaran kewangan dan modal masing-masing. Jelas, peruntukan ini bertujuan tidak lain untuk menyekalkan monopoli Amerika di dalam perkhidmatan kewangan dan pasaran modal dunia.

Itulah dia sebahagian dari maklumat yang mampu dikutip dari dokumen TPP yang dibocorkan. Jelas, perjanjian TPP yang sedang dirundingkan cukup memihak kepada Amerika Syarikat dan syarikat korporat negara itu. Jika akhirnya ia dimetrai dalam bentuk yang dikendaki oleh Amerika Syarikat, maka perjanjian TPP akan dengan mudahnya muncul sebagai apa yang boleh dipanggil “kezaliman ekonomi kurun ke 21.”

Gerakan menentang perjanjian TPP sudah muncul khasnya di Australia dan New Zealand dan dijangka merebak ke negara-negara ahli yang lain. Penulis tidak mampu meneka adakah rakyat Malaysia akan turut menentang perjanjian ini. Rumusan penulis adalah seperti berikut: Boleh dijangka (it is a forgone conclusion) bahawa Malaysia, sepertimana juga negara-negara pesisiran lautan Pasifik yang lain, khasnya yang sedang membangun dan masih belum mencapai status negara maju, akan terpaksa menerima sahaja perjanjian TPP secara bulat-bulat, pasrah di bawah telunjuk Amerika Syarikat, negara yang terkuat di muka bumi sekarang ini. Ini bermakna menggadaikan masa depan rakyat dan Negara. Ahli Ekonomi Amerika dan Pemenang Hadiah Nobel dalam bidang Ekonomi, Joseph Stiglitz menyatakan: “Most of these free trade agreements are… managed trade agreements and they are mostly managed for the advantage of the United States, which has the bulk of the negotiating power.” Hujjah in diperkuatkan oleh Nile Bowie, seorang penyelidik di Global Research yang merumuskan: “The United States is economically ailing, and the TPP – Wall Street’s wet dream and Washington’s answer to its own dwindling economic performance – is designed to allow US big business a greater stake in the emerging Pacific region by imposing its exploitative economic model on Signatory nations that exempt multinasionals and private investors from any form of public accountability.” Penulis melihat TPP adalah sebahagian dari dasar-dasar ekonomi Dajjal untuk kurun ke 21.

Rembau NS
1 Jun 2013

Tiada ulasan: