Selasa, Mac 11, 2014

Rusia, Ukraine Isytihar Perang

Rusia, Ukraine Isytihar Perang.

KIEV - UKRAINE. Kami serang! Kami tawan! Kami pacak bendera!”, begitulah permainan pantas Rusia yang cuba menakluki Crimea di selatan Ukraine.

Campur tangan Rusia di Ukraine ketika negara itu terhimpit dalam krisis politik memburukkan lagi keadaan hingga negara jajahan Soviet itu terjerumus ke ambang perang.

Perdana Menteri sementara Ukraine, Arseniy Yatsenyuk menuduh Rusia mengisytiharkan perang ke atas negaranya selepas tentera Rusia ‘menakluki’ wilayah autonomi Crimea, sejak empat hari lalu.

Pada kejadian itu, sekumpulan lelaki bersenjata pro-Rusia lengkap berpakaian perang dilapor menawan Parlimen dengan menembak pintu kaca dan mengarahkan pengawal keselamatan meninggalkan premis itu sebelum mengibarkan bendera Rusia.

“Ini bukan satu ancaman, ini deklarasi perang. Kami menggesa Presiden Rusia Vladimir Putin menarik balik tentera mereka di sana. Kami memberi amaran, Ukraine kini di ambang kejatuhan jika Moscow tidak menarik tenteranya keluar,” kata Yatsenyuk.

Menteri Pertahanan sementara Ukraine, Igor Tenyukh memberitahu, Rusia menghantar 30 kenderaan perisai serta 6,000 tentera memasuki wilayah itu untuk membantu militan yang memihak kepada Rusia bagi mendapatkan kebebasan daripada pemimpin negara ini.

“Lebih 12 trak tentera membawa tentera, dua ambulans dan kenderaan bersenjatakan mesingan meluncur di jalan raya Sevastopol, pusat pentadbiran Crimea,” katanya.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) pula menggesa Rusia menghentikan aktiviti ketenteraan ke atas Ukraine selepas Putin mendapat kelulusan Parlimennya.

Putin membentangkan usul supaya Parlimen meluluskan penggunaan tentera di Ukraine susulan situasi luar biasa di negara itu yang mendatangkan ancaman kepada 46 juta rakyat senegaranya di wilayah Ukraine termasuk alasan untuk melindungi Armada Laut Hitam di Crimea.

Situasi itu menyebabkan Ukraine terpaksa memberi amaran kepada rakyatnya supaya bersiap sedia untuk berperang.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama juga menggesa Rusia menarik balik pasukan pertahanan mereka atau menghadapi pengasingan politik dan ekonomi termasuk digugurkan dalam keanggotaan Kumpulan Lapan (G8).

Putin, bagaimanapun menegaskan, negaranya akan melakukan apa saja untuk melindungi kepentingan mereka di Ukraine.

“Kami menolak gesaan Barat untuk menarik balik rancangan penghantaran tentera. Siapa dia (Obama) untuk mencampuri urusan negara ini” katanya.

Semalam, ratusan tentera bersenjata tidak dikenali mengepung pangkalan tentera Ukraine di Perevalne, Crimea dengan membawa 13 trak dan empat kenderaan berperisai.

Setiap trak dengan nombor pendaftaran Rusia membawa 30 anggota tentera. Berikutan itu, tentera Ukraine bertindak menempatkan kereta kebal di pintu pangkalan sebagai persediaan jika berlaku pertempuran.

Dalam perkembangan sama, Panglima Angkatan Tentera Laut Ukraine yang baharu dilantik, dituduh pembelot kerana mengumumkan kesetiaan kepada kerajaan wilayah Crimea yang pro-Rusia.

Laksamana Denis Berezovsky turut berikrar akan mempertahankan hidup dan kebebasan rakyat Republik Crimea serta bandar Sevastopol.

Sejurus kenyataan itu, kerajaan sementara Kiev, mengumumkan pemecatannya.

Naib Setiausaha Keselamatan Kebangsaan Dan Majlis Keselamatan Ukraine, Victoria Syumar berkata, Berezovsky akan didakwa mengikut Akta 111 kerana membelot.

“Beliau tidak melawan apabila ibu pejabatnya dikepung, malah berpaling tadah kepada Crimea,” katanya.

Ukraine telah dicengkam krisis sejak November lalu apabila Presiden digulingkan, Viktor Yanukovych menahan dirinya daripada menandatangani Perjanjian Persatuan dengan Kesatuan Eropah yang memihak kepada hubungan lebih rapat dengan Rusia.

Minggu lalu, Parlimen menamakan Oleksandr Turchynov, sebagai presiden sementara negara itu.

Kesimpulannya, Putin tidak membuang masa berbincang. Selain itu, tindakan beliau sebenarnya dapat menyelamatkan banyak nyawa dari terkorban jika wujud rundingan.

Mungkinkah ini dendam terhadap Yanukovych kerana enggan menandatangani perjanjian tersebut atau angkara kerajaan sementara yang mahu teruskan hubungan dengan Rusia?

Sumber: SinarHarian.