Ahad, Ogos 23, 2009

::PENDIDIKAN ANAK::

bismillah..

selamat membaca.. kali ni ana post artikel yang agak panjang sikit.. apa pun, moga pengunjung sudi untuk memmbaca artikel ni..

::Cerdaskan Anak Dengan Al-Quran::

OLEH: Ustazah Ros Inazuri Jamaludin..

Akal fikiran anak-anak yang putih bersih memerlukan pengisian yang murni. Akal itu mendambakan kesungguhan ibu bapa pemiliknya untuk mewarnakannya dengan warna fitrah. Akal yang belum dicemari itu bersedia untuk menerima apa sahaja yang dihulurkan. Baik yang suci, mahupun yang keji.

Ibu bapa yang mithali perlu menghayati hakikat ini sedalam-dalamnya. Akal, satu ciptaan Allah SWT yang hebat dan bersih itu tentunya perlu diisi dengan sesuatu yang hebat dan bersih dari Yang Maha Agung. Memang akal mempunyai potensi untuk meneroka segala macam jenis ilmu dan cabangnya-dari matematik, sains, fizik, astronomi, metafizik, atau sebagainya. Ia juga mempunyai daya untuk menganalisa seribu satu sumber, baik bertulis, lisan, pergerakan, pemandangan, fenomena alam atau sebagainya. Namun, ia patut dimulakan dengan sesuatu yang lebih agung dan lebih unggul.

sesungguhnya tiada sumber ilmu yang hebat dan lebih tinggi dari Kalam Allah SWT iaitu al-Quran. Maka ibu bapa tidak boleh alpa untuk menghiasi minda anak-anak dengan kehebatan al-Quran.

TRADISI ATAU DHARURI?

memang menjadi kebiasaan, anak-anak Muslim di Malaysia atau dimana-mana pelosok dunia belajar al-Quran. Ibu bapa yang prihatin biasanya akan meminta anak-anak mengenal huruf dan membaca al-Quran. Bermula dari Muqaddam hinggalah kepada khatam. Lebih indah lagi diadakan pula sesi kenduri khatam al-Quran sebagai tanda bahawa anak itu telah melepasi satu tahap yang tertentu.

Persoalannya, adakah amalan mengaji dan khatam al-Quran ini satu tradisi atau dharuri (keperluan)? Pada zahirnya sesetengah ibu bapa melihat amalan ini sekadar tradisi semata-mata. Bagi mereka, mengaji al-Quran dianggap sebagai sekadar satu rutin harian bagi mengikuti tradisi sebagaimana yang mereka lakukan ketika kecil-kecil dahulu. Bila anak-anak tidak menunjukkan minat dan lebih cenderung untuk melakukan aktiviti lain yang lebih menyeronokkan, maka dia pun terus mengalah. Membiarkan sahaja anak buta al-Quran.

Puncany, ialah kerana ibu bapa ini tidak melihat pembelajaran al-Quran sebagai sesuatu keperluan atau dharuri. Perlu diingat bahawa, kesempurnaan ibadah hanya dapat dicapai jika seseorang Muslim mampu membaca al-Quran. Bahkan, tanpa kemampuan membaca al-Quran, seseorang Muslim itu menjadi cacat agamanya, ibarat seseorang yang hidup tanpa kedua-dua belah tangan dan kakinya.

TAJAMKAN AKAL ANAKMU

Ramai ibu bapa tidak menyedari kehebatan al-Quran dalam melatih akal fikiran secara optimum. Kaedah pembacaan al-Quran yang mensyaratkan sebutan yang tepat (makhraj), sebutan panjang dan pendek yang spesifik (mad), penjagaan nafas melalui tempat-tempat berhenti (waqaf), serta gaya hiasan melalui dengung dan sebagainya memaksa setiap anak-anak yang mempelajarinya memberikan daya tumpuan yang tinggi dan berterusan. Anak-anak diajar untuk menjadi tekun, berhati-hati, teliti, dan memberikan fokus kepada apa yang ditatapnya.

Latihan ini sebenarnya memberikan kekuatan mental yang kukuh di dalam minda anak-anak. Latihan supaya anak-anak membaca al-Quran dengan tepat menjadikan mereka menggunakan segenap kemampuan dan potensi diri untuk menggarap ilmu dan kefahaman. Amali ini amat penting dalam latihan minda. Ini menjadikan mereka tidak mengambil sikap sambil lewa dan leka dalam menuntut ilmu-ilmu yang lain.

Ini bermakna, apabila seseorang itu menguasai al-Quran bermakna dia telah menyediakan mindanya untuk menerima ilmu-ilmu yang lain. Bahkan jika anak-anak berkemampuan, ibu bapa boleh galakkan anak-anak agar menghafal al-Quran kerana cara ini mampu meningkatkan lagi daya tumpuan dan daya ingatan. Dalam konteks ini, tepatlah saranan Ibnu Khaldun yang menekankan betapa pentingnya anak-anak diajar menghafal al-Quran kerana al-Quran merupakan asas kepada penguasaan ilmu-ilmu yang lain.

Selain itu, Imam Al-Syafie pula berkata: "Sesiapa yang mempelajari al-Quran, nescaya tinggi nilai dirinya; siapa yang mendalami ilmu fiqh nescaya diangkat darjatnya; dan siapa yanng mencatat hadis, nescaya kukuh hujahnya."

Sementara ilmuan tersohor, Ibnu Sina dalam kitab Al-Siyasah menasihatkan agar pendidikan anak dimulakan dengan mengajarnya membaca al-Quran ketika dia semakin besar dan akalnya sudah bersedia untuk belajar.

TUSYEN BOLEH, MENGAJI TIDAK!

Kejayaan anak-anak menguasai al-Quran bergantung rapat kepada kesungguhan ibu bapa yang mendidiknya. Usah letakkan 100% tanggungjawab mengajar al-Quran kepada sekolah kebangsaan atau sekolah agama. Hari ini berapa ramai generasi baru yang buta al-Quran. Sekolah-sekolah tentunya tidak mampu untuk memberikan perhatian secara individu dalam melatih kemahiran al-Quran. Kemampuan anak-anak menguasai al-Quran hakikatnya banyak bergantung kepada inisiatif ibu bapanya sendiri.

Belajar al-Quran memerlukan disiplin. Pihak pertama yang perlu berdisiplin ialah ibu bapa sendiri. Ketika di rumah, anak-anak perlu ditetapkan untuk belajar al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam sehari. Pemantauan secara dekat amat penting bagi menjayakannya. Berikan dorongan dan motivasi kepada anak-anak untuk membaca dengan baik. Motivasi secara rotan atau 'hanger' perlu dielakkan. Jangan sampai anak-anak memandang sesi belajar al-Quran sebagai suatu saat yang menakutkan. Takut-takut hatinya menjadi jauh dengan al-Quran.

Pendekatan motivasi secara bimbingan, penghargaan serta galakan amat penting. Apa salahnya berikan pujian setiap kali bacaannya betul dan baik. Ulang-ulangkan kepentingan belajar al-Quran. Selalu ingatkan juga tentang pahala berganda untuk orang yang membacanya. Timbulkan rasa gembira dengan sepuluh pahala bagi setiap huruf yang dibaca. Serta jangan lupa ingatkan bahawa apa yang dibaca itu adalah Kalam Allah SWT, iaitu Tuhan Yang Maha Pengasih yang menjadikan kita semua.

Jika ibu bapa pun buta al-Quran, maka perlulah mereka mendapatkan guru al-Quran yang baik untuk datang mengajar mengaji. Atau, hantarlah anak-anak belajar mengaji di rumah guru atau di surau. Bagi mereka yang mahir al-Quran, usahlah kedekut ilmu untuk mengajar orang lain terutamanya anak-anak jiran sendiri. Ingatlah betapa hari ini ramai generasi baru yang buta al-Quran.

Bagi ibu bapa yang buta atau 'rabun' al-Quran pula, usah kedekut untuk menghulurkan sumbangan ikhlas kepada guru-guru al-Quran. Jika boleh habiskan beratus-rsatu ringgit untuk tusyen akademik, takkanlah tidak boleh melabur untuk pendidikan al-Quran. Ingatlah bahawa al-Quran itu adalah ibu segala sumber ilmu.

Kesimpulannya, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak dengan al-Quran. Jika kita mahukan anak kita hebat, maka mulakanlah dengan menguasai kehebatan al-Quran. InsyaAllah asas yang kukuh bersandarkan Kalam Allah SWT ini akan memberikan laluan mudah kepada ibu bapa untuk mendidik anak seterusnya menjadi insan soleh dan solehah..



wallahua'lam..

salam mujahidah..

::sumber::- Majalah Muslimah keluaran Ogos 2009 (Sya'ban-Ramadhan)

"Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan " "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: * Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada); * Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri; * Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-amiinkan adalah Rasullullah dan para sahabat , dan dilakukan pada hari Jumaat. Oleh itu ana TERLEBIH DAHULU MEMOHON MAAF jika ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja maupun yang di sengaja.."