Isnin, Julai 21, 2008

::Pak Cik Jaga, biskut dan kucing::

::CERITA:Azamin Amin::
::Thu | Jul 17, 08 | 3:00:11 pm MYT::

Dosa saya mungkin tidak tertanggung lagi. Apatah lagi perasaan bersalah akan sentiasa menghantui diri tatkala mengenangi kisah seseorang yang sering tidak dipedulikan walaupun kelibatnya ada di sisi.

Begitulah hakikat naluri hati dalam menafsirkan hubungan istimewa saya sebagai wartawan Harakah yang bersikap 'kejam' dengan pengawal keselamatan berhati manusia.

Mungkin tidak ada sesiapa yang dapat merakam perjalanan sejarah hidupnya memandangkan dia bukanlah nama besar atau tokoh ternama. Jauh sekali dikenali ramai malah tugasnya dianggap temeh, hanyalah menjaga keselamatan Bangunan dan petugas Harakah.

Peranan yang dilihat kecil kadang-kadang merupakan sumbangan besar di sisi Allah SWT, malah akan disanjung setelah merasa kehilangannya.

'Birang' namanya yang saya tidak ketahui daripada asalnya adalah merupakan teman dan rakan sepejabat para wartawan dan petugas Harakah yang bertugas lewat malam atau ke subuh terutama pada waktu 'deadline'.

" Azamin," Birang memanggil nama ketika saya sedang khusyuk mengadap peti komputer.

"Datanglah ke kedai Pak Cik, makan roti canai. Semua kawan-kawan sudah datang, Azamin sahaja yang belum," sambungnya lagi.Birang berniaga kecil-kecilan di waktu pagi manakala malamnya bertugas sebagai Pak Cik Jaga.

"Aaa...ya..ya nanti.." jawab saya acuh tak acuh. Saya tidak melayan secara betul Pak Cik Jaga yang ramah itu kerana sibuk dengan tugasan yang tidak pernah habis dan sudah.

Bukan bersikap sombong tetapi ada masanya dek kerana menumpukan kepada tugasan, saya lupa 'bercampur' dengan orang.....'macamlah bagus sangat saya ni'.

Begitulah hari demi hari berlalu dan perkenalan saya dengan pak cik Birang menjangkau usia dua tahun. Diam tak diam, dialah peneman di kala malam walaupun adakalanya saya tidak mengendahkan keramahan dan coletehnya yang panjang.

Namun tanpa kehadiran pak cik , terasa sunyi sekali. Kalau ada, terasa seperti ada radio di sisi....umpama muzik laksana irama dan lagu tak dapat dipisahkan.

Ada waktu tertentu saya rancak berbual dengannya tetapi paling banyak masa ialah mendengar ceritanya yang tiada nokhtah. Rajin juga berceloteh tentang politik malah idolanya ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Ustaz Mohamad Nor. Bak kata orang dia 'hardcore- fan' atau peminat nombor satu.

Kadang-kadang sembang-sembangnya tentang politik, saya ceduk dan petik sebagai ulasan serta suara hati orang kebanyakan. Adakalanya buah fikirannya bernas, jauh lebih baik dari sesetengah ahli politik.

"Makan dulu sikit, nanti sambung balik kerja," katanya sambil menyua biskut yang dibawa dari rumah kepada saya. Bila saya menolak, dia berlalu tanpa menganggu saya lagi dan duduk di tempat penyambut tetamu.

Satu lagi kebiasaan pak cik ialah suka memberi makanan kepada kucing yang berkeliaran sekitar bangunan Harakah dan telah dilakukan semenjak beliau mula bertugas lebih tiga tahun lalu. Beliau membawa makanan kucing yang dibawa daripada rumah.

Sehinggakan jika kelibat pak cik ini tiba dengan menaiki motor untuk bertugas, pasti beberapa ekor kucing dengan pantas meluru kerana tahu 'rezeki' sudah sampai.

Nampaknya kali ini saya kehilangan seorang penganalisis politik yang mewakil suara rakyat bawahan. Kalau ada dia mungkin boleh mencebiskan satu dua pandangan tentang muzakarah PAS-Umno atau pun penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat Di Malaysia. Pasti dia tidak menghampakan saya dengan lontaran idea-ideanya.

Pak Cik Birang tidak pernah mengambil cuti, setiap malam wajahnya pasti ada untuk menemani sesiapa yang bertugas malam. Dia hanya mengambil cuti seminggu sebelum Hari Raya kerana mahu beribadah 10 malam terakhir malah dia akan menyambung tugasnya di Bangunan Harakah pada Hari Raya pertama.

Saya akan kenang Birang kerana kesukaannya memberi makanan kepada kucing dan tanpa segan silu mempelawa mana-mana wartawan Harakah untuk menjamu biskut yang dibawa dari rumah.

Selain itu beliau sering memastikan saya atau rakan setugas Wan Nordin supaya tidur di tempat yang selesa setelah penat berjaga malam menyiapkan tugasan dan paling memalukan dialah yang mengejutkan kami untuk menunaikan solat subuh sebelum kami 'terbabas'.

Dua minggu lalu sewaktu bertugas, dia mengadu sakit dada lantas dibawa ke hospital.Saya diajak rakan-rakan untuk menziarahinya namun seperti 'hati- batu' saya menolak dengan alasan sama - sibuk menyiapkan tugasan. Pada andaian saya, sempat untuk melawatnya di kemudian hari.

Namun janji Allah itu benar dan andaian saya ternyata silap kerana Birang akhirnya kembali ke rahmatullah jam 2.00 pagi 17 Julai 2008...tanpa saya sempat menjamah roti canai buatannya atau menyapanya buat kali terakhir.

Benarlah kata pepatah, setelah 'kita menyedari untuk membuat kebaikan kepada seseorang, kita sebenarnya sudah terlambat'.

Dan paling 'kejam' tatkala kawan-kawan mengajak menziarahi jenazahnya buat penghabisan, saya dengan berat hati menolak buat kali yang kedua kerana ditugaskan ke Parlimen dan urusan menyiapkan berita-berita yang lain. Nampaknya saya masih punya sikap itu walaupun Birang sudah pun mendiamkan diri.

Ya....ya..kali terakhir melihat wajah sayunya ialah ketika menghulurkan biskut kepada saya....dan memercik air mata ketika berada di Parlimen, betapa saya masih bersikap 'kejam' di saat Pak Cik Jaga meninggalkan saya buat selama-lamanya....

Pemergiaannya membuat saya menukilkan semula sifat-sifat kemanusiaan yang semakin terpinggir jauh dari diri sendiri betapa saya sudah jauh tersasar...

Semoga sumbangannya menjaga keselamatan petugas Harakah, menjamu kucing, menyua biskut dan sesekali berceloteh menemani kami, dijunjung dan diganjarkan Allah.

"Dan maafkan saya Pak Cik... kerana tidak berkesempatan bersua malah tidak mampu melakukan solat jenazah.

"Pak Cik....mungkin setelah disiapkan tugas-tugas dan kerja yang tak habis-habis ini...saya akan buat solat jenazah ghaib sebagai penebus rasa bersalah saya....yang juga mungkin tidak dapat ditampung walau secebis pun," getus saya dengan hati yang cukup sebak.

Maafkan saya kerana catatan ringkas ini, dibuat dalam keadaan tergesa-gesa, sebak dan penuh rasa simpati yang mungkin tidak dapat merakamkan seluruh jalan cerita kehidupan seorang manusia biasa yang tiada nama namun punya jasa....Al-Fatihah.

(cacatan ringkas ini ditulis pada hari sama Birang kembali mengadap illahi dan dikebumikan jam 10 pagi tadi)

(sebarang kritikan dan pandangan boleh dimajukan ke azaminamin@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya ) _

sumber::harakahdaily.net

p/s::sama-samalah menyayangi makhluk ciptaan Allah SWT.patutnya kita kna ada perasaan malu apabila khianati binatang-binatang ni.ermm,tak sanggup nak berhadapan dengan pencipta makhluk-makhluk ni pada satu saat nanti.Ya Allah, jauhilah kami dari sifat-sifat kejam terhadap makhluk ciptaan-Mu..::

riJaluLLAH siDe~: duhai ummah....

riJaluLLAH siDe~: duhai ummah....

::Airmata seorang Nabi...kerana Umat'nya::

::TAZKIRAH::
::Diluluskan pada Sabtu, 14 Jun 2008 @ 18:45:36 oleh tulipsakura

::Untuk Renungan Bersama::
Detik-detik Rasulullah SAW Menghadapi Sakaratul Maut.

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah.

"Wahai umatku, kita semua berada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya.” Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku. Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua,” keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk. "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah,

"Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah,

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggil Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega,matanya masih penuh kecemasan. "Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.
"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan risau, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: “Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan ruh Rasulullah ditarik. Seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

“Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. Ya Allah, dahsyat sungguh maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku." Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii" - "Umatku, umatku, umatku"

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi. Betapa cintanya Rasulullah kepada kita. Sahabat-sahabat muslim sekalian, marilah kita renungkan kembali pengorbanan Rasulullah kepada umatnya lainnya, betapanya cintanya Rasulullah kepada umatnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka.

http://www.inteam.com.my

::makanan untuk minda::

Untuk menguatkan daya ingatan,dengan rahmat dan sayang Allah SWT, kita
dikurniakan makanan yang baik dan dapat menguatkan sistem saraf kita.

Diantara jenis makanan yang boleh meningkatkan fungsi ingatan adalah:

- Buah anggur hitam
- Madu lebah
- Halia
- Buah badam
- Susu
- Air zam zam
- Kismis
- Jus karot & madu
- Epal
- Kurma
- Ikan tuna
- Tempe
- Air soya

Itu hanyalah sebahagaian daripada makanan yang boleh meningkatkan daya ingatan manusia.

Selain daripada itu, oksigen juga amat penting untuk merangsang otak supaya sentiasa cergas dan cerdas. Satu teknik mengawal pernafasan yang amat baik diamalkan adalah dengan menarik nafas sebanyak 7 kiraan, kemudian tahan nafas sebanyak 14 kiraan. Ulang selalu terutama sewaktu keletihan.

Keterangan-keterangan di atas hanyalah sebahagian kecil drpd cara-cara meningkatkan keupayaan ingatan/otak. Yang paling penting ialah ingat Allah SWT selalu. Daya ingatan akan bertambah kukuh sekiranya tidak sesaat pun kita lupa kepada-NYA.

Amalan berpuasa sunat juga baik kerana puasa juga boleh menajamkan minda.

Disamping itu latihkan diri berzikir seperti berikut: -

1) Ya Rahman (Maha Pemurah) 100x selepas solat fardhu.
2) Ya Hakim (Maha Bijaksana) 300x setiap hari.

Insyallah jika selalu mengamalkannya, daya ingatan semakan kukuh dan mudah menerima ilmu dan mengingatinya.

p/s::makanan syubhah pun boleh rosakkan daya ingatan.hati-hati pilih makanan.sebab makanan akan membentuk peribadi kita.you are what you eat::

::petua elak lupa::

Anda merasakan anda sudah tua kerana sikap anda yang pelupa? Anda asyik lupa di mana kali akhir anda meletakkan sesuatu? Orang di sekeliling selalu marahkan anda kerana lupa tarikh penting, lupa letak barang, lupa makan ubat, lupa fakta2, lupa tutup kipas, lupa arah jalan, lupa nama orang dan macam-macam lagi.
Sebenarnya, kita dapat meningkat daya ingatan atau mengurangkan risiko menjadi pelupa dengan mengamalkan tips-tips di bawah secara berterusan. Lebih baik jika kita mempraktikkan ketika usia masih muda supaya kelak di hari tua kita tidak menjadi terlalu pelupa. Antaranya ialah:

Amalkan Tidur Yang Cukup
1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur. Namun ada orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yang cukup. Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat/data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Oleh itu, amalkan tidur yang cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi.

Mengawal Tekanan
Tekanan hanya akan membuat jiwa anda tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan anda terganggu. Anda juga lebih cenderung untuk menjadi seseorang yang tidak peka dengan keadaan persekitaran. Anda tidak dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan anda juga terjejas. Oleh itu, kawal tekanan anda dengan baik seperti bermeditasi, membaca Al-Quran, yoga, sauna, aromaterapi dan sebagainya.

Berhati2 Dengan Pengambilan Vitamin atau Makanan Tambahan
Sesetengah produk yang dijual di kaunter atau farmasi tidak sesuai dengan kita. Ada yang kononnya dapat meningkatkan daya ingatan. Tetapi sebaliknya ada yang memberi kesan sampingan. Oleh itu, lebih baik jika kita mendapatkan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan kita dengan pemakanan yang seimbang atau rujuk dahulu doktor yang bertauliah sebelum membeli makanan tambahan.

Bersenam
Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan peredaran darah ke otak.Oleh itu, daya ingatan kita juga akan menjadi lebih baik.Amalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki.

Elakkan Kemurungan
Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup anda tidak ceria. Anda sentiasa berada dalam keadaan tidak segar dan rasa kecewa. Lama-kelamaan ia turut menjejaskan daya ingatan anda dan membuat anda tidak hirau dengan persekitaran anda. Ubatilah kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa psikiatri atau beramal-ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan.

Awasi Pengambilan Ubat
Daya ingat mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Jika anda menghadapi masalah daya ingatan disebabkan pengambilan ubat, konsultasi dengan doktor. jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor.

Belajar Sesuatu yang Baru
Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya Bahasa Jepun, kursus kemahiran jangka pendek, menjahit, atau menghadiri ceramah dan motivasi.

Permainan
Bermain sesuatu permainan seperti board games dapat merangsang minda. Contohnya, catur, scrabble (Sahibba) dan Monopoli. Selain itu, teknologi sekarang lebih baik seperti permainan komputer dan Playstation. Pilihlah jenis permainan yang mencabar minda.

Banyak Membaca
Jadikan amalan membaca sebagai kegiatan harian. Membaca dapat meluaskan pengetahuan, mengembangkan minda dan menajam daya ingatan. Cuba ingat sedikit-sebanyak fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan.

Katakan Berulang Kali
Untuk meningkat ingatan anda tentang sesuatu maklumat atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga anda benar-benar ingat akan maklumat tersebut.

Fokus
Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya anda sering fokus dalam sesuatu, contohnya matlamat hidup. Anda juga dapat belajar fokus dengan menumpukan fikiran anda pada sesuatu perkara dan mencatatkan apa yang anda fikirkan.

Bermain Dengan Angka
Asahkan minda anda dengan cuba bermain dengan angka seperti mengingati nombor telefon rakan-rakan. Selain itu, anda boleh menghubungkaitkan angka2 tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan.

Membaca Al-Quran
Sekiranya anda seorang Muslim, amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka surat setiap hari. Membaca Al-Quran dapat menerang jiwa, menenangkan perasaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik.

http://www.halaqah.net

p/s::usahakan untuk menjadi sesempurna insan tanpa melupakan kemuliaan yang Allah SWT kurniakan pada hamba-Nya::

::ciri-ciri sahabat yang baik::

Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

-Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
-Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
-Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
-Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
-Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu
-Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
-Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
-Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
-Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
-Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
-Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
-Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentinga persahabatan;
-Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;
-Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

p/s::insyaAllah,hidup lebih harmoni apabila kita merasakan besarnya konsep 'memberi' dan 'menerima' dalam kehidupan ini.setiap insan akan melakukan kesilapan.apa yang penting,bersama-sama saling melengkapi antara satu sama lain.kerana matlamat kehidupan di dunia ini adalah semata-mata mencari keredhaan Allh SWT..jadikan hidup ini ibadah kerana Ilahi::