Jumaat, Disember 04, 2009

::keberkatan::

bismillah...

alhamdulillah, masih lagi diberi masa dan ruang untuk menaip di laman ini..

Sambil tangan membelek majalah SOLUSI..ana terbaca tentang isu'keberkatan'..

Kadang-kadang kita sering lupa pada hal-hal berkat ni. Lebih-lebih lagi apabila nafsu buruk yang menguasai diri..(inilah dikatakan manusia)..

KEBERKATAN WAKTU

Keberkatan yang paling penting ialah keberkatan dalam hidup dan keberkatan dalam waktu kita. Bagi mukmin yang sejati, keberkatan hidup lebih mahal berbanding harta dan wang ringgit.

Keberkatan waktu dan rezeki hanya datang melalui kekuatan iman dan tunduk pada perintah serta larangan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah kami akan limpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi," (surah al-A'raf 7:96)

Lihatlah sahabat besarnya kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya. Hanya dengan memelihara keimanan dan ketakwaan diri Allah SWT memberikan keberkatan ke dalam hidup kita. Namun, iman dan takwa inilah yang sering kita lupa. Hati kita mudah terpengaruh..mudah sangat.. Allahuakbar..

Imam Abu Bakar bin 'Ayasy berkata:

"Andai kata seseorang kehilangan sekeping emas, ia akan menyesal dan memikirkannya sepanjang hari. Ia mengeluh,"innalillah wa inna ilaihi roji'un, emas saya hilang." Namun belum pernah kita dengar seseorang mengeluh: "Sehari telah berlalu, namun apa yang aku lakukan sepanjang tempoh itu?"

Hamba-hamba Allah ini selalu menyesal jika satu detik daripada waktunya berlalu tanpa manfaat. Seorang ahli hadis, Abu Bakar al-Khatib al-Baghdadi, sering kali dilihat membaca sambil berjalan, lantaran dia tidak ingin membuang waktunya. Imam Ibn Rusyd, ahli fiqah dan filsafat terkenal, juga diceritakan tidak pernah meninggalkan membaca buku dan mengajar sepanjang hidupnya kecuali dua malam sahaja; iaitu waktu dia menikah dan ketika bapanya meninggal dunia. (subhanallah, tokoh-tokoh ulama' dulu sangat menjaga waktu mereka..mereka memang mengharapkan keberkatan dan takut membuang masa..mrk akan pastikan waktu yang ada, digunakan sebaiknya..)

Keberkatan waktu dapat kita lihat dalam sejarah hidup tokoh-tokoh Islam dan para sahabat. Mereka berjaya melahirkan prestasi besar hanya dalam masa yang singkat sehingga sering kali sukar diterima logik "zaman hilang berkat" kita ini.

Zaid bin Tsabit misalnya, berjaya melaksanakan perintah Nabi Muhammad SAW menguasai bahasa yahudi (Suryaniah), percakapan dan tulisan, hanya selama 17 hari sahaja. Walhal pada waktu itu belum ada alat bantu audio visual moden seperti sekarang. Kalau tengok kita sekarang, memerlukan masa yang lama untuk belajar sesuatu bahasa..

Sebenarnya banyak punca yang boleh menghilangkan keberkatan pada waktu kita. Antara punca hilang keberkatan waktu ialah lemah iman. Lemah iman memang membawa kepada melakukan pelbagai maksiat dalam pekerjaan seperti terima rasuah, korupsi, menipu, kecurangan suami isteri, perbalahan, dan sebagainya. Padahal perlakuan ini hanya memberi keuntungan yang sementara sahaja. (sebab itulah, kita perlu mempunyai daya tahan diri dan sebagai Muslim perlu sentiasa muhasabah dan kembalikan hidup kepada Allah SWT..)

Syeikh Afdhaluddin pernah berkata, " khianat menghapuskan berkat" sebagaimana haram menghapuskan halal. Sesiapa berkhianat dalam satu dirham, iblis akan menyeretnya untuk berkhianat dalam seibu dirham."

Sabda Nabi SAW, "jika dua orang yang berjual-beli sama-sama jujur dan tidak menipu, mereka akan diberkati. Namun jika kedua-duanya menipu dan berdusta, dicabut keberkatan daripada jual beli mereka." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Imam al-Ghazali berkata,"Orang yang hanya menghitung kelebihan dan kekurangan dengan timbangan lahiriah sahaja tidak mempercayai hadis ini. Namun orang yang meyakini bahawa satu dirham kadang-kadang diberkati sehingga menjadi sarana kebahagiaan dirinya di dunia dan akhirat; dan beribu-ribu dirham kadang-kadang dicabut keberkatan daripada dirinya sehingga menyebabkan kebinasaan diri, pasti percaya."

Selain itu, makanan yang haram dan syubhah juga akan menghalang manusia untuk menggunakan waktunya dengan berkesan. Makanan yang syubhah akan mengganggu sistem ibadah dan bekerja seseorang.

Syeikh Abu al-Hasan al-Syazili berkata," Kami telah membuktikan bahawa tidak ada ubat yang paling mujarab untuk mengusir mengantuk, selain makan makanan halal dan menjauhi haram atau syubhah. Barangsiapa memakan makanan yang haram dan syubhah, banyak tidurnya." (sebenarnya, bukan saja makanan haram yang syubhah yang perlu kita elakkan..kita juga perlu menjaga segala perlakuan kita yang menjurus kearah haram dan syubhah..ini bertujuan untuk memelihara keimanan dan ketakwaan diri..)

SIKAP KITA

Jika kita telah menyedari bahawa keberkatan waktu telah hilang, maka sungguh rugi jika kita masih membuang waktu yang memang sedikit itu. Sebaliknya, kita perlu bertekad untuk menggunakan waktu yang ada untuk meningkatkan kualiti hidup di dunia dan mengumpul bekalan hidup di akhirat.

Abu Hazim Salamah bin Dinar berkata:

"Segala sesuatu yang ingin kau bawa ke akhirat, siapkanlah dari sekarang. Dan sesuatu yang tidak ingin kau bawa, tinggalkanlah dari sekarang."

Rasulullah SAW juga memberitakan bahawa keadaan ini akan bertambah buruk pada masa akan datang. Baginda bersabda sebagaimana diriwayatkan Bukhari daripada Anas bin Malik:

"Tidaklah datang kepadamu suatu zaman, melainkan zaman yang setelahnya lebih buruk daripada itu, hingga kamu berjumpa dengan Tuhanmu."

Baginda juga bersabda, :

"Cepatlah kamu beramal sebelum datang berbagai-bagai fitnah seperti kegelapan malam. Pada waktu itu, seorang beriman pada pagi hari dan kafir pada petang harinya. Ia beriman pada petang hari tetapi kafir pada pagi harinya. Ia menjual agamanya demi sedikit harta dunia." (Riwayat Ibn Hibban dan al-Hakim daripara Abu Hurairah). (na'uzubillahi min zaalik.. pada sahabat yang dikasihi kerana Allah, hitunglah amalan kita..sejauh mana kita amalkan Islam dalam kehidupan..sejauh mana daya tahan iman kita..sejauhmana kita mendekatkan diri pada Allah..dan sejauh mana kita menghubungkan diri dengan ciptaan-Nya...)

...hidup adalah sebuah perjalanan yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada semua umat manusia...

...selamat menempuh kehidupan dengan cahaya Islam...

ikhlas daripada,

muslihah..

sandakan..(new place ^_^)