Rabu, Januari 30, 2013

::Ketuanan Islam Menolak Ketuanan Melayu::

::KETUANAN ISLAM MENOLAK KETUANAN MELAYU::

Akademi Tarbiyah DPPM ,

22 Jan 2013

Ketuanan sesebuah bangsa, ketuanan sesebuah kaum, sejak dahulu lagi pernah dipelopori oleh tokoh-tokoh yang ekstrem, fanatik (taksub), liar dan tidak bertamadun. Taksub kebangsaan, taksub ketuanan merupakan suatu penyelewengan juga bida’ah yang wajib ditolak oleh setiap Muslimin pada zaman ini. Jika kita menganggap kemuliaannya disebabkan faktor keturunan atau bangsa, manakala orang lain lebih rendah daripada dirinya kerana tidak memiliki salasilah bangsa sepertinya, maka itu adalah kepercayaan yang batil. Samalah kiranya dakwaan bangsa itu seperti Yahudi yang menganggap mereka sebagai ‘bangsa terpilih’ (chosen race), tuan kepada bangsa-bangsa yang lain.

Sebelum terlantiknya Barrack Obama sebagai Presiden di Amerika Syarikat ke-44, pernah berlaku konflik bersejarah antara kaum yang berpunca daripada penubuhan Ku Klux Klan. Ku Klux Klan ialah kumpulan ultra kanan bermazhab Protestan, yang memperjuangkan ketuanan bangsa kulit putih. Kewujudannya dikesan seawal tahun 1865, iaitu pada 24 Disember. Kewujudan mereka adalah untuk mengembalikan ketuanan bangsa kulit putih yang dianggap oleh mereka sebagai ras yang terbaik, ras yang tinggi menaungi bangsa lain. Mereka mendirikan organisasi tersebut dengan maksud untuk memulau bangsa kulit hitam. Bahkan, kelompok ini juga menyerang warga kulit putih yang menjadi pelindung kulit hitam.

Aksi Ku Klux Klan memuncak pada dasawarsa 1950-1960-an yang akhirnya memunculkan kelompok perlawanan dari kalangan kulit hitam Amerika dan tokoh-tokoh yang menyerukan persamaan hak dan anti rasisme seperti Malcolm X (Malik el Shabazz) dan Martin Luther King. Perjuangan Malcolm X bukan sekadar persamaan hak, tetapi yang lebih tinggi dari itu iaitu perjuangan dakwah Islamnya sehingga diakui oleh warga Amerika sendiri, jika Malcolm X masih hidup kemungkinan besar Islam adalah agama rasmi bagi rakyat di sana. Kebenaran Islam telah menunjukkan kepada Malcolm X bahawa kebencian membabi buta kepada semua orang kulit putih juga adalah sikap yang salah, sekalipun sikap kebencian yang sama dilakukan orang kulit putih terhadap orang kulit hitam.

Tetapi kumpulan ektremis Ku Klux Klan terus memulaukan seluruh bangsa kulit hitam dan mengagungkan bangsa kulit putih yang dianggapnya sebagai bangsa Tuhan di negara Amerika. Yang berikut adalah apa yang pernah disebut oleh Matt Hale, pendeta besar gereja Rom tentang ketakasubannya terhadap perkauman;

"Kita memerlukan agama yang meninggikan rakyat kita dan hanya untuk rakyat kita sendiri. Maka, kita perlu mengakui hal ini dan menyingkirkan pandangan yang mengatakan bahawa semua manusia diciptakan sama darjat, kita mesti membebaskan diri dari kenyataan-kenyataan konyol seperti itu. Apa yang kita percaya untuk kita lakukan adalah mengakhiri segala bantuan kepada semua yang non-kulit putih. Kita percaya bahawa tanpa bantuan kepada mereka, orang kulit hitam akan cepat menyusut jumlahnya. Mereka tidak mampu menyara kehidupan sendiri… Kita percaya bahawa sebuah dunia sempurna, akan mudah dicapai dengan hanya dimiliki ras kulit putih, juga persahabatan ras kulit putih." - Ku Klux Klan

Jika di Amerika, kumpulan ekstremis bangsa dikenal sebagai Ku Klux Klan (3 K), di Malaysia pula popular dengan pertubuhan Umno, Perkasa, Jati (Jalur 3) dan seumpamanya. Klon Ku Klux Klan Malaysia ini hadir dengan struktur yang sama, struktur memperjuangkan bangsa, rasnya dan kebanggaannya.

Malaysia sebuah negara yang unik dan komposisi kaumnya pelbagai maka kerana itu, tidak perlulah ada klon Ku Klux Klan di Malaysia. Terfikirkah kita kesannya kepada tanah air apabila kumpulan-kumpulan ultra nasionalis menerjah minda-minda rakyat yang naïf akalnya? Ia bakal menjadi ombak yang meranapkan peradaban dan kemanusiaan.

Kita bangsa Melayu tidak perlukan slogan ‘ketuanan Melayu’ (Malay supremacy). Kerana kita adalah bangsa yang Allah muliakan dengan Islam, jika kita mencari kemuliaan selainnya sudah tentu Allah akan menghina kita wahai umat Melayu. Bangsa lain akan menghormati kita jika kita bermaruah dan melaksanakan prinsip-prinsip Islam. Islam mengangkat kita menjadi bangsa mulia.

Sedarkah kita, walaupun konsep ketuanan Melayu telah dijulang Umno sejak lebih 50 tahun lalu, nasib kaum ini terus terabai dan terkebelakang dalam segala hal berbanding kaum lain. Bangsa Melayu dihujani masalah sosial, pendidikan, ekonomi dan budaya kehidupan yang membimbangkan. Manakala kuota 30 peratus penguasaan ekuiti (ekonomi) Melayu-Bumiputera masih gagal dicapai.

Begitulah kepakaran Umno dalam menyihir rakyat dengan auta, melaung-laungkan kumat-kamit menteranya dengan kalimah ‘ketuanan Melayu’. Sedangkan manusia yang menyatakan keunggulan satu ras dan mempercayai bahawa mereka lebih unggul dari bangsa yang lain, mereka sebenarnya telah melupakan satu kenyataan penting bahawa tidak satu pun nilai-nilai tersebut bersifat abadi. Setiap manusia yang beriman mahupun kafir, hidup atau mati, akan meninggalkan semua yang dimilikinya di dunia ini. Segala amal usahanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Rabbul Izzati. Pada hari itu, tidak seorangpun mampu menolong yang lain, tidak ada ras, warna kulit apatah lagi ketuanan Melayu.

Allah Taala menggambarkannya dalam sebuah ayat :

“Apabila sangkakala ditiup maka tidak ada lagi pertalian nasab (kerabat) di antara mereka pada hari itu, dan tidak pula mereka saling bertanya.” (Surah al- Mukminun: ayat 101).

http://tarbawi.my

Tiada ulasan: