Rabu, Disember 07, 2011

Dakwah Fardhiyyah (Individu)~

Muqaddimah

Memilih untuk bersama gerombolan dakwah adalah satu pilihan yang paling tepat. Namun dengan hanya menjadi ‘ahli gerakan dakwah’ tidak memberikan kita tempat yang istimewa di sisi Allah sehinggalah kita menjadikan diri kita sebagai ‘ahli dakwah’ yang mewaqafkan kehidupan kita untuk memikul risalah Allah SWT ini.



Dakwah adalah bahagian yang utama daripada tarbiyyah Islamiyyah. Diri kita tidak akan terus meningkat sehinggalah kita menjadikan dakwah itu sebahagian dari diri kita sendiri. Dakwah adalah sudut amali tarbiyyah yang menjadikan kita lebih memahami dan lebih merasai hakikat Islam sebenar bahkan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah SWT.

Salah satu dari medan dakwah adalah dakwah fardiyah iaitu membinakan kontak individu dengan seseorang dengan tujuan mengubahnya dari seorang yang jauh dari Islam kepada ahli dalam gerakan dakwah yang kita pelopori.

Objektif kita ialah supaya kebanyakan mereka yang aktif di dalam masyarakat berada di bawah pengaruh dan bimbingan kita sebagai pendokong Islam dan beramal bersama kita dalam gerak kerja yang terancang dan terlaksana secara jama’ie.

Kesan dari dakwah fardiyah ini, mad’u (objek dakwah) kita akan menjadi pendokong Islam dengan kelayakan sebagai akh atau sekurang-kurangnya menjadi penyokong yang setidak-tidaknya bersimpati dan mempunyai wa'. Mereka percaya pada jalan kita, memberi sokongan, menyukai Islam dan sanggup bersusah payah kerananya.

Dakwah Fardiyah Dan Realiti Ummat

Kita hendaklah memahami realiti muslimin yang menjadi medan dakwah kita (di sini kita hanya membincangkan mengenai urusan mendakwah kaum muslimin supaya kembali kepada Allah). Ini kerana tuntutan sekarang ialah memindahkan mereka dari realiti hidup yang menguasai mereka pada hari ini kepada realiti hidup yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Mereka hidup dengan kefahaman yang silap, malas beramal untuk Islam, bersikap keterlaluan dan lain-lain. Kita hendaklah memindahkan mereka kepada suasana kehidupan yang baru; kehidupan yang memahami Islam dengan kefahaman yang lengkap sempurna sebagaimana yang dibawa oleh Rasulallah SAW. Kita juga perlu memindahkan mereka kepada memahami tuntutan Islam yang sempurna dan memahami cara merealisasikannya menurut kaedah yang paling sempurna dan betul.

Melalui penelitian dan kajian terhadap masyarakat kita, kita akan mendapati bahawa kelemahan iman atau kelumpuhan iman di jiwa, tidak memahami hakikat Islam dengan sebenarnya dan serangan pemikiran adalah faktor utama yang menyebabkan kaum muslimin berada dalam suasana yang ada pada hari ini. Ia juga merupakan faktor utama yang membolehkan musuh-musuh Allah menjadikan sebahagian kaum muslim sebagai kuda tunggangan mereka untuk memerangi Islam; secara mereka sedari atau tidak.

Janganlah diharapkan kesedaran, tindakan, amal atau hasil yang baik untuk Islam daripada mereka ini, melainkan setelah iman dibangkitkan dari dalam jiwa mereka terlebih dahulu. Dengan itu iman yang hidup ini akan mendorong mereka kepada mengenal Allah dan memahami Islam, beramal dan berjuang untuk Islam serta mempertingkatkan diri kepada martabat para ‘amilin yang sholeh.

Mungkin berfaedah kalau kita peringatkan di sini bahawa beriltizam dengan tertib dalam menaiki tangga menuju martabat para ‘amilin adalah suatu yang pasti dan sangat penting. Ini kerana tanpanya boleh mengakibatkan kemunduran, kejatuhan lalu mengambil sikap berdiam diri dan duduk berpangku tangan. Kita akan mulakan dakwah dengan menyeru seorang yang lalai. Kemudian beransur-ansur mempertingkatkannya dari satu marhalah ke satu marhalah sehingga ia sanggup menyerahkan segala yang dimilikinya untuk menggerakkan amal Islami yang diimaninya.

Walaupun keadaan ummat begitu parah dan jauh dari islam yang sebenar namun pada hakikatnya, terdapat individu yang baik dan lebih mudah menerima dakwah. Orang yang seperti inilah yang patut dijadikan sasaran dakwah dan diberikan keutamaan demi menjimatkan waktu dan usaha.

Kebanyakan muslim pada hari ini sibuk dengan urusan dunia dan lalai daripada beribadat kepada Allah SWT dan mentaati perintah-Nya. Mereka seperti sekumpulan manusia yang sedang nyenyak tidur. Di sebelah mereka terdapat api yang marak menyala dan akan membakar mereka sekiranya mereka masih lagi tidur.

Di kalangan manusia yang sedang nyenyak tidur, terdapat mereka yang tidak tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekeliling, tetapi tidak mampu memadamkan api yang sedang membakar. Ketika itu kewajipan mereka ialah segera membangunkan manusia yang nyenyak tidur supaya setiap mereka menyedari keadaan masing-masing dan menjauhkan diri daripada api yang akan membinasakan itu. Sebarang usaha untuk memperingatkan mereka yang tidur dari bahaya api akan menjadi sia-sia, jika dilakukan sebelum mereka terjaga dari tidur. Mereka tidak akan mendengar dan mentaati peringatan itu kerana mereka sedang nyenyak tidur. Jadi mereka mestilah dibangunkan terlebih dahulu barulah diberikan peringatan.

Keperluan Kepada Dakwah Fardiyah

Merekrut manusia ke jalan Allah SWT ini merupakan amaliyah yang mahal dan tidak cukup dengan dakwah ‘ammah yang bersifat umum Setiap individu perlu didekati dan dibina dari satu tahap ke satu tahap hingga mereka sanggup bersama kita mendepani onar dan serangan yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam serta sanggup bersusah payah mengejutkan manusia lain yang masih tidur.

Da’ie perlu masuk kedalam kehidupan mereka dan menjadikan dirinya bahagian penting dari kehidupan mereka. Mereka lalu dengan mudah menerima dakwah kita hingga akhirnya mereka menjadi sebahagian dari arus dakwah yang menggerakkan manusia untuk kembali kepada Allah SWT.

Hal ini dapat dilakukan dengan berbagai macam cara, di antaranya melalui dakwah fardiyah dalam ruang lingkup 7 marhalah yang akan dibincangkan nanti.
Fokus Dakwah Fardiyah

Secara umumnya pendekatan dakwah fardiyah ialah membina kefahaman mad’u terhadap 4 perkara iaitu:

I. Mafhum Tarbawi; iaitu mendekatkan mad’u kepada kepentingan, keperluan dan komitmen kepada tarbiyyah untuk membina ciri-ciri mukmin pada dirinya.
II. Mafhum Da’wi; iaitu memberi kefahaman mengenai keperluan dakwah bagi menyelesaikan segala permasalahan ummah dan merawat segala kerosakan yang berlaku dalam kehidupan insan.
III. Mafhum Haraki; untuk menjelaskan kepada mereka akan keperluan kepada satu bentuk tarbiyyah yang khusus untuk mempertahan dan membangunkan Islam dalam suasana tidak adanya Khilafah Islamiyyah dan suasana dimana jahiliyyah menguasai.
IV. Mafhum Jama’ie; untuk menekankan keperluan kepada jama’ah bagi mempertahan dan mencapai matlamat Islami.

Modal utama dari gerak kerja dakwah fardiyah ini ialah keperibadian mukmin dengan segala keindahan budi pekertinya dan jiwa yang kuat persandaran, tawakkal dan pengharapan kepada janji-janji dan pertolongan Allah SWT.

Uslub Dan Marhalah Dalam Dakwah Fardiyah

Berikut ini adalah uslub praktis dakwah fardiyah sebagaimana yang dikemukakan oleh As Syeikh Mustafa Masyhur dalam bukunya Fiqhud Dakwah. Ringkasan uslubnya sebagai berikut:

LANGKAH PERTAMA:

Berupaya untuk membina hubungan dan mengenal setiap orang yang hendak didakwahi dan membangunnya dengan baik. Upaya ini untuk menarik simpati darinya agar hatinya lebih terbuka dan siap menerima perbincangan yang dapat diambil manfaat sehingga pembicaraan berikutnya dapat berlangsung terus. Pembinaan hubungan dengannya dilakukan secara intensif sehingga objek dakwah mengenal orang yang mengajaknya sebagai pilihan terbaik untuk dipergauli dan dicontohi.
Pembinaan ini bermula dengan husnul ikhtiar (melakukan pemilihan yang baik), taaruf sehinggalah da’ie mampu memenangi hati dan ketsiqahan objek dakwahnya.



LANGKAH KEDUA:

Membangkitkan iman yang mengendap dalam jiwa. Pembicaraan hendaklah tidak langsung diarahkan pada masalah iman, namun sebaiknya berjalan secara tabi'i, seolah-olah tidak disengaja dengan memanfaatkan saat-saat tertentu yang berlangsung dalam kehidupan hingga menemui saat yang sesuai untuk berbincang secara khusus persoalan iman dan kehidupan.

Melalui pembicaraan yang tabi'i persoalan yang dipaparkan akan mudah mendapatkan sambutan. Dari sambutan yang disampaikannya mengenai beberapa hal dapat ditindak lanjuti dengan meningkatkan gairah keimanannya. Gairah keimanan yang timbul darinya akan mencari penyelesaian bagi setiap permasalahan yang dihadapinya. Dari situlah muncul perhatian yang besar terhadap masalah-masalah keislaman dan keimanan hingga ia memilih jalan kehidupan yang akan mendekatkannya kepada Allah SWT.

LANGKAH KETIGA:

Membantu memperbaiki keadaan dirinya dengan mengenalkan perkara-perkara yang bernuansa ketaatan kepada Allah dan bentuk-bentuk ibadah yang diwajibkan.

Pada tahap ini perlu pula dibekali dengan bahan-bahan bacaan dari rujukan yang sederhana, seperti Dasar-dasar Islam, Prinsip-prinsip Islam (Abul 'Alaa Al Maududi) dan lain-lainnya. Di samping bekalan bahan-bahan bacaan, juga perlu diperkenalkan dengan lingkungan yang baik (bi’ah sholehah) dan kelompok masyarakat yang sholeh agar dapat menjaga nilai-nilai yang telah tertanam dan meneladani kehidupan orang sholeh.

Mutabaah dan pemantauan dalam tahap ini memerlukan kesabaran yang tinggi sehingga dapat membimbing perjalanannya di atas jalan dakwah dan terhindar dari faktor-faktor yang buruk.

LANGKAH KEEMPAT:

Menjelaskan tentang pengertian ibadah secara syamil agar memiliki kefahaman yang shohih tentang ibadah disertai niat yang benar dan menjadikan syarak sebagai rujukan dan batas-batas kehidupan. Membina kefahaman yang benar dan tidak sempit terhadap ibadah. Bahawa ibadah bukan sekadar rukun Islam yang empat saja (sholat, puasa zakat dan haji). Akan tetapi pengertian ibadah begitu luas bahawa setiap ketundukan seorang hamba pada-Nya dengan mengikuti aturan yang telah digariskan akan bernilai ibadah.

LANGKAH KELIMA:


Menjelaskan kepada objek dakwah bahawa kita tidak cukup hanya dengan keIslaman diri kita sendiri. Hanya sebagai seorang muslim yang taat menjalankan kewajiban ritual, berperilaku baik dan tidak menyakiti orang lain lalu selain itu tidak ada lagi. Melainkan keberadaan kita mesti mengikatkan diri dengan keberadaan muslim lainnya dengan berbagai macam permasalahannya.

Pada tahap ini pembicaraan diarahkan untuk menyedarkan bahawa persoalan Islam bukan urusan perorangan (individu) melainkan urusan tanggung jawab setiap muslim terhadap agamanya. Perbincangan ini dilakukan agar mampu mendorongnya untuk berfikir secara serius tentang bagaimana caranya menunaikan tanggungjawab itu serta menjalankan segala tuntutan-tuntutannya.

LANGKAH KEENAM:

Menjelaskan kewajiban untuk menyebarkan risalah Islam dan memikul amanah membangunkan ummah serta menyelesaikan segala permasalahannya. Kewajiban di atas tidak mungkin dapat ditunaikan secara individu. Masing-masing orang secara terpisah tidak akan mampu menegakkannya. Maka perlu sebuah jamaah yang memadukan potensi semua individu untuk memperkuat tugas memikul kewajiban berat tersebut. Dari tahap ini objek dakwah disedarkan tentang pentingnya amal jama'i dalam menyelesaikan tugas besar ini.

LANGKAH KETUJUH:

Menyedarkan padanya tentang kepentingan sebuah jamaah. Pembicaraan ini memang sensitif dan rumit tetapi penting sehingga memerlukan hikmah dan kekuatan hujjah dan penjelasan yang meyakinkan. Oleh kerana itu harus dijelaskan padanya bahawa bergabung dengan sebuah jamaah harus meneliti perjalanan jamaah tersebut. Jangan sampai terburu-buru untuk menentukan pilihan terhadap sebuah jamaah yang akan dijadikannya sebagai wahanaatau sarana merealisasikan dasar-dasar Islam.

Demikianlah langkah-langkah dalam melaksanakan dakwah fardiyah sebagaimana yang dijelaskan oleh As Syeikh Mustafa Masyhur. Sudah tentunya setiap langkah atau marhalah mempunyai tahapan masa yang berkait rapat dengan keperibadian da’ie dan beragamnya peribadi mad’u. Kebijaksanaan dan pengalaman serta kretiviti da’ie akan menjadikan peralihan marhalah itu lebih cepat dan berkesan.

Sumber:myOpera.com

Tiada ulasan: