Selasa, September 21, 2010

::500 mahasiswa Melayu cemerlang mungkin pulang::

500 mahasiswa Melayu cemerlang mungkin pulang

Utusan Malaysia 20 Sep 2010

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Kira-kira 500 mahasiswa Melayu cemerlang yang sedang mengambil kursus kritikal termasuk perubatan di Asia Barat mungkin terpaksa menamatkan pengajian lebih awal kerana tidak mendapat biasiswa seperti dijanjikan.


Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang mendedahkan mengenai perkara itu menjelaskan, ibu bapa pelajar berkenaan tiada pilihan selain membawa pulang anak masing-masing kerana kebanyakan daripada mereka daripada golongan berpendapatan rendah.

Menurut Setiausaha Agung MPM, Dr. Hasan Mad, ini kerana ibu bapa berkenaan telah bergolak-gadai menghabiskan wang simpanan termasuk menjual tanah bagi menanggung pengajian tahun pertama anak masing-masing setelah mendakwa akan diberikan biasiswa apabila memasuki tahun kedua pengajian.

"Semua universiti itu diiktiraf oleh kerajaan tetapi kenapa mereka tidak diberi biasiswa? Saya hendak tanya adakah tindakan itu berpunca daripada desakan MCA?

"MPM memandang serius perkara ini kerana pada masa sama kerajaan boleh memberi bantuan jutaan ringgit kepada sekolah Cina persendirian yang jelas melanggar Dasar Pelajaran Kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MPM di sini hari ini.

Menceritakan mengenai kemelut pelajar berkenaan, Hasan berkata, pada 29 Mei lalu, Pengerusi Kongres Ekonomi Melayu, Datuk Ibrahim Ali telah menyerahkan memorandum pelajar berkenaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pada mulanya kita difahamkan bahawa tindakan telah diambil, tetapi malangnya kita dimaklumkan oleh pelajar berkenaan bahawa mereka masih belum mendapat biasiswa.

"Wakil Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung kemudian ke Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum tetapi tidak berpeluang melakukannya, sebab itulah kes ini diserahkan semula kepada MPM," katanya.

Sehubungan itu, MPM sekali bertanyakan kepada kerajaan sama ada ingin melayan kes tersebut atau mengabaikannya begitu sahaja.

Tegas beliau, sekiranya kerajaan bertegas enggan menyelesaikan perkara itu, maka MPM tidak mempunyai pilihan melainkan akan membawa perkara itu kepada Majlis Raja-Raja untuk tindakan lanjut.

"MPM sedia memanjat pagar istana, jika tiada pilihan lagi untuk mengadu dan meminta Majlis Raja- Raja mengarahkan kerajaan memberikan biasiswa kepada pelajar-pelajar itu," katanya.

sumber:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

Tiada ulasan: