Isnin, Mac 01, 2010

KUASAI DIRI..

KUASAI DIRI..

Di dalam Bahagian Pertama buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam, Ustaz Fathi Yakan telah menggariskan beberapa tajuk penting yang perlu dibaca dan diamalkan oleh seseorang Muslim. Salah satu bahagian di dalam bahagian pertama ialah 'Saya Mestilah Dapat Menguasai Diri' (1.6).

Mafhum firman-Nya:
"Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya) maka Allah akan mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya."
(Asy-Syams: 7-10)

Sabda Rasulullah SAW:
"Fitnah dan cubaan akan dibentangkan kepada manusia seperti tikar,satu demi satu. Mana-mana hati yang dipengaruhinya tercatitlah pada hati itu satu titik hitam.Mana-mana hati yang mengingkarinya tercatitlah pada hati itu satu titik putih,hinggalah hati itu menjadi salah satu dari dua jenis hati; sama ada putih seperti batu putih yang tidak akan dicacatkan oleh sebarang fitnah atau menjadi hati yang hitam pekat, tidak mengenal maaruf dan mengingkari sebarang kemungkaran."
(Hadith riwayat Muslim daripada Hudhaifah Ibn Yaman)

Dalam menghadapi pertarungan jiwa ini manusia terbahagi kepada tiga golongan :

pertama: golongan yang dapat ditewasakan oleh hawa nafsu mereka. Golongan ini tunduk kepada dunia dan kekal dalam keduniaan. Inilah golongan orang-orang kafir dan orang-orang yang menuruti cara mereka, iaitu orang-orang yang melupakan Allah, lantas Allah melupakan mereka. Firman Allah:

"Maka pernahkah kamu melihat orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci mata pendengarannya dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat), maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran."
(Al-Jaatsiyah: 23)

Kedua: Golongan kedua ialah golongan yang berjihad melawan diirnya, bertarung memerangi hawa nafsu. Kadangkala mereka menang dan kadangkala mereka mereka kalah. Apabila mereka tersalah mereka bertaubat,apabila mereka melakukan dosa mereka menyesal dan memohon ampun daripada Allah SWT.

Ketiga: Golongan ketiga ialah golongan orang-orang yang maksum, seperti para Rasul dan para Nabi. Dalam hal ini telah diriwayatkan daripada Wahab bin Munabbih beliau berkata bahawa Iblis telah menemui Yahya bin Zakaria lantas Yahya bin Zakaria berkata kepada Iblis:"ceritakanlah kepadaku tentang tabiat anak-anak Adam di sisi kamu." Iblis pun berkata: "Segolongan mereka ialah orang-orang yang seperti kamu, mereka itu maksum, kami tidak mampu sedikitpun menggoda mereka dan golongan kedua ialah golongan yang menjadi seperti bola di tangan anak-anak kamu. Hawa nafsu golongan ini telah menolong kami menawan mereka dan golongan mereka dan golongan ketiga pula ialah golongan yang amat sukar bagi kami, kami menemui salah seorang dari mereka hinggalah kami berjaya mencapai apa yang kami kehendaki, tetapi kemudian beliau segera beristighfar, dengan istighfar itu beliau telah merosakkan apa yang kami dapati darinya, kami tidak pernah putus asa dari (menggoda)nya dan kami tidak akan mendapat kehendak kami daripadanya."

SENDI-SENDI KEKUATAN DALAM PERTARUNGAN NAFSU.

Pertama: HATI.

Hati akan menjadi sendi kekuatan dalam pertarungan jiwa apabila hati itu terus hidup,lembut, bersih, cekal, dan sentiasa mengingati kata-kata Ali bin Abil Talib karramallahuwajhah.:"Allah SWT mempunyai bejana di bumi ini,iaitu hati. Hati yang paling Allah kasihi ialah hati yang paling lembut, paling bersih, dan paling cekal." Kemudian Ali menerangkan maksud perkataannya dengan mengatakan: "Paling cekal dalam beragama, paling bersih dalam keyakinannya, dan paling lembut terhadap saudaranya."

juga hati yang sentiasa mengingati perkataan Saidina Ali mengatakan bahawa:"Hati seorang mukmin itu suci bersih. Hati seorang kafir itu hitam, sentiasa sakit." (kafir bukan bermakna non-muslim sahaja..)

Kedua: AKAL.

Akal akan menjadi sendi kemenangan dalam pertarungan jiwa sekiranya akal itu dapat melihat, mengetahui sesuatu, dapat membezakan sesuatu dan dapat menyedut sesuatu daripada ilmu yang kelak akan digunakan untuk mencapai tempat yang hampir dengan Allah, mengetahui kekuatan dan kebesaran Allah SWT. Firman-Nya:
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-Nya hanyalah ulamak."
(Faathir: 28)

Rasulullah SAW bersabda,mafhumnya:
"Jika manusia menghampirkan diri kepada Allah dengan (melakukan) pelbagai amal kebajikan, hampirkanlah diri kamu kepada Allah dengan ilmu."
(Hadith riwayat Nua'm dalam 'Hilyah' dan sanadnya dhaif).

KUBU PERTAHANAN DARI GODAAN SYAITAN.


Berkata seorang solihin."Ku renung dan ku fikir, dari pintu manakah syaitan itu memasuki pintu hati manusia, tiba-tiba ku dapati syaitan memasukinya dari sepuluh pintu:

-tamak dan jahat sangka, lantas aku hadapinya dengan sifat kepercayaan pada-Nya .
-cintakan hidup dan panjang angan-angan, lantas aku hadapinya dengan rasa takut kepada maut yang tiba-tiba.
-cintakan kerehatan dan kenikmatan, lantas aku hadapinya dengan meyakini nikmat itu akan hilang.
-kagum pada diri sendiri (ujub), lantas aku hadapinya dengan bersyukur terhadap pemberiannya.
-pandang rendah terhadap orang lain. lantas aku hadapinya dengan cara mengetahui hak-hak mereka dan kehormatan mereka.
-hasad, lantas aku hadapinya dengan redha pada pemberian Allah SWT.
-riya' dan sukakan pujian, lantas aku hadapinya dengan sifat ikhlas.
-Bakhil, lantas aku hadapinya dengan meyakini bahawa apa yang ada di tangan makhluk akan binasa.
-Takabbur, lantas aku hadapinya dengan sifat tawaddhu'.
-Tamak, lantas aku hadapinya dengan tidak mengharapkan sesuatu dari manusia.

Termasuk juga dalam perkara yang dapat dijadikan kubu pertahanan ialah menjauhkan makan terlalu banyak, bermewah-mewah sekalipun halal dan bersih.

Diantara benteng-benteng tersebut juga ialah membaca al-Quran, berzikir, dan beristighfar.

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan mereka ingat kepada Allah maka ketika itu juga mereka akan melihat kesalahannya (sedar kembali)".
(Al-A'raaf: 201).

wallahua'lam

salam mujahadah

2 ulasan:

sal berkata...

salam.Islamik dan Ilmiah.Teruskan usaha menjadi penulis Islamik.Moga Allah sentiasa memberi hidayah dan memberkati kehidupan kita semua.Amin.

::muslihah zaki:: berkata...

amin.. sm2 kita harapkan redha dn keberkatan dr Allah SWT.. cinta pada Allah yang satu..insyaAllah, kita akan bahagia di dunia dan akhirt kak..tp kena byk mujahadh la kan..