Khamis, November 12, 2009

::KESETIAAN & KASIH SAYANG::

..KUNCI KEBERKATAN REZEKI..

"Kesibukan menggali ilmu tidak sesekali melenyapkan semangat keusahawanan Mohd. Khairudin."

Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary merupakan seorang tokoh perniagaan Muslim moden yang amat disegani. Siapa tidak kenal dengan figura ini yang dikenali sebagai seorang ahli perniagaan berjaya, ditambah dengan sisi beliau yang amat mencintai kerja-kerja kebajikan. Lantaran itu, kejayaan beliau dalam mengadun keharmonian antara perniagaan dan kebajikan, telah membuka mata ramai orang bahawa perniagaan yang berkat ialah perniagaan yang tidak mengetepikan tanggungjawab sosial.

Perkara yang sama cuba direalisasikan oleh Mohd. Khairudin Aman Razali at-Takiri, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Darul Fuqaha. Mantan pensyarah UKM ini amat aktif dalam aktiviti pembangunan modal insan di kalangan generasi muda. Buktinya beliau telah mendirikan beberapa buah pusat pendidikan bertempat di Bandar Baru Bangi.

Rangkaian institusi pendidikan Darul Fuqaha terdiri daripada Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha, Kolej Islam Fuqaha, Sek. Ren. Islam Pintar Tahfiz Fuqaha, Institut Pintar Tahfiz Fuqaha, dan Pusat Pengajian Islam Fuqaha.

Pada kelazimannya, salah satu cara sekolah-sekolah agama persendirian menjana pendapatan adalah dengan mengutip derma orang ramai. Tetapi Mohd. Khairudin cuba untuk menukar kebiasaan itu dengan membina empayar perniagaannya sendiri.

Dilahirkan pada tahun 1973 di Kg. Seberang Takir, Kuala Terengganu, Mohd Khairudin aktif menjalani kehidupan sebagai seorang daie dan ahli perniagaan. Di antara jenis-jenis perniagaan yang diceburi ialah pengeluaran produk makanan kesihatan jenama D'Hatiku, penerbitan buku-buku agama, kedai buku dan khidmat fotostat, khidmat percetakan, kedai kek, katering, kedai pakaian kanak-kanak berjenama Ustazi, butik muslimah Nur Humaira, penternakan kambing (dengan kerjasama seorang rakan kongsi), dan paling terbaru ialah telefon genggam berkonsep islamik dan al-Quran digital.

Bercerita tentang bisnes terbarunya itu, syarikatnya dalam proses mempromosikan telefon genggam yang mengandungi perisian al-Quran dan perpustakaan Islam. Mereka akan bekerjasama dengan pengeluar dari China dan dijangka dipasarkan dalam waktu terdekat. Jelas penceramah radio dan televisyen ini lagi, di antara rangkaian perniagaan yang dimiliki, produk Jus D'Hatiku memberi pulangan yang paling lumayan iaitu melebihi RM400,000 biarpun kewujudannya belum mencecah setahun.

Perniagaan Khairudin beroperasi di dua lokasi berasingan iaitu Sg. Merab dan Bandar Baru Bangi. Di Sg. Merab, terdapat kedai buku, kedai percetakan, dan kedai kek. Manakala di Bandar Baru Bangi pula ditempatkan ibu pejabat D'Hatiku Marketing Sdn. bhd., butik pakaian kanak-kanak Ustazi dan butik pakaian Muslimah Nur Humaira.

TIDAK PERNAH MENGANGGUR

Berniaga bukanlah sesuatu yang asing pada dirinya, malahan sudah menjadi sebahagian dari dirinya. Sementelah semenjak kecil lagi, Mohd. Khairudin sudah terbiasa membantu ibunya berniaga kuih-muih demi menambah pendapatan keluarga. di samping itu, kawasan tempat dia sekeluarga bermastautin merupakan sebuah penempatan nelayan yang menawarkan pelbagai jenis pekerjaan.

Kerja-kerja seperti mengasing ikan bilis, memproses ikan kering, dan mengumpul besi buruk sudah puas dijalaninya. Semangat juang tegar ini jugalah yang telah membantu Mohd. khairudin memanjat satu demi satu tangga kejayaan dalam akademik sehinggalah beliau terbang ke Universiti of Jordan di Jordan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Arab hingga ke peringkat sarjana di bidang yang sama di Aal Bayt Universiti Jordan.

Kesibukan menggali ilmu tidak sesekali melenyapkan semangat keusahawanan Mohd. Khairudin. Di sana, beliau memulakan satu cabang perniagaan baru iaitu berniaga buku. " Saya seorang penggila buku sebenarnya dan sudah menjadi tabiat saya untuk membeli dua salinan buku yang sama; satu untuk dibaca dan satu lagi untuk dijual. kawan-kawan akan membeli buku tersebut setelah yakin dengan ulasan buku yang saya sampaikan. Rata-rata mereka mempercayai saya," menyentuh tentang kepercayaan, semenjak dari sekolah rendah lagi Mohd. khairudin telah diberi tanggungjawab seperti mengimamkan solat berjemaah dan menjadi tempat rujukan dalam hal-hal agama.

Sepanjang pengajian di Jordan, beliau melakukan pelbagai jenis perniagaan seperti mengambil upah membawa jemaah mengerjakan haji dan umrah. Apabila menjelang bulan Ramadhan pula, beliau berniaga pelbagai jenis makanan seperti rojak, minuman, dan kuih bakar kepada kawan-kawan. Tidak ketinggalan kepada kaum Muslimat yang sering memerlukan barangan seperti produk-produk kesihatan, jubah, stokin dan macam-macam lagi. Berikutan sikapnya yang rajin berniaga walaupun masih belajar beliau dapat menghantar sedikit wang ke kampung.

"Saya tidak pernah menganggur hingga hari ini," luah anak sulung kepada 16 beradik dari empat ibu ini. Mohd. Khairudin menyambung cerita, sebaik tamat pengajian sarjana, pulang sahaja ke Malaysia, dia berniaga air soya, popia goreng, keropok lekor, dan macam-macam di pasar. Sehingga teman yang mengenali menegur lagaknya yang bersederhana itu, tempat enta bukan di sini ya syiekh, tempat kamu di universiti.

"Saya hanya membalas dengan senyuman walaupun tidak bersetuju dengan kata-kata itu. Kerana 'malu' tidak pernah wujud dalam kamus hidup saya. Dua bulan kemudian, saya mendapat tawarann mengajar di UIAM. Ketika saya mengajar di sana selama tiga tahun sebelum berhijrak ke UKM (tempat terakhir bertugas), sempat saya menyewa beberapa booth berjualan jubah, perhiasan berupa ayat-ayat al-Quran, dan buku-buku," jelasnya.

Apabila berkhidmat di UKM, beliau mula berjinak-jinak dengan dunia penerbitan. Buku pertama yang diterbitkan ialah Adab-Adab Berdoa. Pulangan yang diperolehinya hampir RM 30,000 dalam masa sebulan.

"Dari situlah timbul idea untuk saya membuka sebuah maahad anak yatim pada tahun 2004. Maka untuk menguatkan lagi sokongan kepada pembinaan maahad itu, lahirlah pelbagai jenis perniagaan yang diusahakan dengan sokongan ahli keluarga," ujarnya yang juga seorang pengamal perubatan Islam.

KELUARGA PUNCA KEBERKATAN REZEKI

Suatu keunikan kepada perniagaan Mohd. Khairudin ialah elemen kekeluargaan yang dipaparkan. Penulis diberitahu kebanyakan kakitangan yang membantu perniagaannya terdiri daripada kalangan ahli keluarga sendiri.

"Tanpa mereka, perniagaan saya mungkin tak berjaya seperti hari ini. Keakraban kami disebabkan "wala" atau kesetiaan adik-beradik kepada abang mereka (saya). Maksudnya di sini ialah kesetiaan dan kasih-sayang adalah kunci kepada kesatuan kami. Rezeki saya murahpun berpunca dari mereka. Tanpa mengira saudara sendiri atau tiri, kami tetap satu keluarga.

Kata orang, kerja dengan ahli keluarga ni payah. Tetapi sebenarnya tidak sukar kerana kami ada iman. Kami sekeluarga meletakkan agama di depan dan berkongsi nilai-nilai yang sama iaitu Islam. Seperti kata-kata Rasulullah SAW yang bermaksud, siapa yang nak dipanjangkan umur, dan dilapangkan rezeki, haruslah menyambung rahim Allah. Berselisih faham itu biasa, tetapi manalah ada manusia yang tidak bertelingkah," jelasnya.

PERKAMPUNGAN ILMU DARUL FUQAHA


Bercerita tentang institusi pendidikan Darul Fuqaha, Mohd. Khairudin berkata yang dia optimis akan dapat mengembangkan visinya itu. Nama Darul Fuqaha itu sendiri merupakan suatu jenama yang cuba dibinanya kerana matlamat pendidikan adalah pendorong utamanya dalam berniaga.

Sambungnya beliau lagi, dua matlamat penubuhan Darul Fuqaha adalah jalinan antara pendidikan dan kebajikan. Pertama, Darul Fuqaha sebagai pusat pendidikan untuk umat Islam yang menawarkan pendidikan percuma. Kedua, Darul Fuqaha sebagai badan berkhidmat untuk membela kebajikan umat. Mohd. Khairudin menjustifikasikan, peranan "pendidikan" adalah untuk mendidik manusia, manakala "kebajikan" adalah untuk membela golongan-golongan yang perlu dibantu seperti warga emas, ibu-ibu tunggal, anak-anak bermasalah.

Projek pertama dibawah Darul Fuqaha ialah Maahad Tahfiz anak yatim yang menggabungkan pendidikan dan kebajikan. Di mana anak-anak yatim akan dibentuk menjadi hafiz dan dalam masa yang sama kebajikan mereka terbela. Melalui pembiayaan percuma, para pelajar akan diberi pendidikan secara integrasi iaitu gabungan tahfiz, agama, dan sukatan akademik Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Pengambilan pelajar dibuka khas untuk anak-anak yatim yang benar-benar susah dan nakal. Pada mulanya kami ambil anak-anak berumur 10 tahun. Sekarang kami hanya ambil dari umur 13 tahun sahaja. Pelajar yang kami ada sekarang ialah tahun satu hingga lima. Umur enam hingga 12 tahun pula kami serapkan ke SRIP iaitu Sek Ren Islam Pintar. Maklumbalas yang kami terima dari orang ramai amat baik. Mungkin inilah hasil corak didikan di sini," katanya.

Maklumbalas yang diterima dari orang ramai amat menggalakkan. Hal ini mendorong Mohd. khairudin untuk membuka sebuah sekolah lagi bagi menempatkan anak-anak bukan dari golongan yatim. Lalu tertubuhlah SRIP dan Institut Pintar Tahfiz Fuqaha (IPTAF). Bagi kedua-dua sekolah ini, ibu bapa akan dikenakan bayaran tetapi kadar yang dikenakan bergantung kepada kemampuan mereka. "Projek ini juga projek kebajikan. Yang berada akan membayar macam biasa dan yang kurang mampu akan bayar kurang. Contohnya ada seorang ibu yang membayar RM30 sahaja untuk tiga anak dalam masa sebulan termasuk makan minum serta asrama penginapan," terang Mohd. Khairudin.

Kolej Islam Fuqaha pula dikhususkan untuk pengajian diploma. Seraya menambah penjelasannya, Mohd. Khairudin memberitahu kolej ini menggunakan sistem gabungan pendidikan universiti dan talaqqi menggunakan kitab-kitab lama. Setakat ini mereka mengambil 10 orang pelajar sahaja sebagai percubaan. Mereka belajar secara percuma.

Antara kriteria yang harus dimiliki oleh bakal pelajar ialah kelulusan SPM dengan tiga kredit dan minat yang mendalam untuk menjadi alim ulama. Kolej ini bekerjasama dengan sebuah lagi kolej di Terengganu yang mendapat pengiktirafan daripada universiti al-Azhar. Jumlah pelajar Maahad tahfiz hari ini mencecah 50 orang, SRIP dan IPTAF pula 120 orang.

Percaya kepada potensi yang dimiliki oleh setiap pelajar, Mohd. Khairudin mengulas, "Saya percaya setiap orang dilahirkan bijak. Anak-anak ini hanya perlu diberi latihan untuk membentuk mereka menjadi orang yang berjaya. Seumpama setitik air bila dititiskan atas batu pun boleh membentuk lekuk. Merekalah yang bakal menyambung risalah Darul Fuqaha dengan menjadi guru-guru di sini."

Sebagai perancangan jangka masa panjang, beliau sedang berusaha membeli 4 ekar tanah untuk dijadikan satu pusat ilmu yang merangkumi asrama anak yatim, maahad tahfiz anak yatim, pondok ilmu warga emas, pusat perlindungan ibu tunggal, dan pusat tarbiyah remaja.

Tapak tanah telah dikenalpasti terletak di Sg. Merab dengan harga RM1.3 juta. Mohd. Khairudin juga meluahkan hasrat peribadi agar dapat membeli tanah tersebut dengan menggunakan wang pendapatan dari keuntungan perniagaan, tanpa terlalu bergantung kepada sumbangan masyarakat dan meminjam daripada pihak bank.

"Pembelian akan dilakukan secara peringkat demi peringkat. Hasrat saya mahu menjadikan tapak itu sebagai sebuah perkampungan," katanya penuh harap.

-tamat-

penulis: Azlin Mohd. Hamin (majalah i)

...

semoga kisah ini menjadi motivasi kepada umat Islam.. kita perlu hidup untuk memberi.. dan untuk memberi, kita perlu 'ada' sesuatu... buatlah sekadar yang mampu. apa yang kita ada, itulah yang kita sumbang pada Islam.. (setiap manusia ada kepakarannya yang tersendiri).

...

salam posting pada kawan-kawanku..

...

moga dapat jadi insan pendidik yang ada ilmu, dan baik sahsiah...

"Setiap orang yang berusaha meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan), dan lidah (berdakwah)."
-Sayyid Abul A'la al-Maududi-


wallahua'lam

Tiada ulasan: