Isnin, Ogos 31, 2009

::ramadhan kareem::

Bismillah… dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, penyaksian hidup hanya pada-Nya.. bersaksikan keyakinan seluruhnya pada Allah SWT.. selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW ikutan sepanjang zaman dan keatas kesemua ahli serta para sahabat Baginda…

Firman Allah SWT:

“dan orang-orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya? "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), dan memberi petunjuk ke jalan ugama-Nya, sesiapa yang rujuk kepadaNya, - (ar-ra’du:27)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah". ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (ar-Ra’du: 28)

Alhamdulillah, sepanjang-panjang kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT diatas nikmat iman dan Islam yang tidak ternilai dan tiada kesamaan dengan segala pemberian manusia yang tidak kekal.. sesungguhnya nikmat Allah SWT Maha Kekal hingga ke akhir kehidupan.. subhaanallah, apabila fikiran ini mula berfikir mengenai kehidupan dan pengakhiran hidup, lantas ‘mati’ mula hadir di hati.. persoalan “macammana rasa mati? Bagaimana keadaan orang yang mati? Apa bentuk kehidupan di SANA? Mula menerjah ruang fikiran yang sangat terbatas ini. Getaran mula terasa.. ketakutan mula hadir dalam diri. Kenapa? Kenapa takut yang hadir? Allahuakbar, adakah kerana kurangnya amal dan lemahnya iman untuk menemui Pencipta, Pemilik jasad ini?.. Segala pengharapan dan doa dipanjatkan pada-Mu Rabbi agar jangan Kau hijab seruan doa kami untuk mendapat redha dan rahmat-Mu….

Firman Allah SWT:

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.(1).Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam (2). Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (3). Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat) (4). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan (5). Tunjukilah Kami jalan Yang lurus (6). Iaitu jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang sesat(7).” (Surah al-fatihah : 1-7)

Allahuakbar, indah segala kalamullah... benar kata Allah SWT dalam firman-Nya bahawa kalam Allah SWT merupakan ubat dan penawar buat para mu’min.. kita diajar oleh Rasulullah SAW untuk menggantungkan segala harapan pada Tuhan Rabbul Jalil.

Firman Allah SWT:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; (1). Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; (2). Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan; (3) Dan tidak ada sesiapapun Yang serupa denganNya".(4)- (surah Al-Ikhlas: 1-4).

Sesungguhnya tiada tujuan lain diciptakan manusia kedunia ini. Melainkan untuk beribadah pada Allah SWT. Apabila hati kuat ikatan dan tautan pada Allah SWT, insyaAllah segala persoalan dan permasalahan hidup akan dapat diatasi dengan mudah dan penuh ketenangan.

Namun, lumrah dan fitrah manusia tetap diakui memang lemah. Allah SWT berfirman sebagaimana di dalam ayat ini:

“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa Dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya); (Al-balad:4).

Allah SWT sendiri menciptakan manusia dalam keadaan sebegini. sebagai insan biasa, manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan.. kerana kelemahan sebagai manusia itu sendiri sentiasa ada dalam diri kita.. apa yang mampu kita lakukan adalah sentiasa ingat akan matlamat penciptaan kita di dunia ini.. Allah SWT bekalkan kita dengan akal untuk kita uruskan kehidupan disini…

Semoga kehidupan yang dilayari bukan sahaja untuk keuntungan dunia..tapi biarlah segala yang terpancar dari perbuatan kita dapat menjangkau kehidupan ukhrawi juga…

~pada semua sahabat dan pembaca yang rindukan kebenaran dan cinta Ilahi, sama-samalah kita jelmakan firman Allah SWT dan sabda Nabi Muhammad SAW di dalam diri kita.. mulakan dari diri.. kerana sesuatu yang kita inginkan sukar untuk dikecapi sekiranya kita mengharapkan ia dilakukan oleh orang lain..~

~di kesempatan yang terbatas ini, segala kemaafan dipinta daripada sesiapa sahaja yang pernah mengenali diri ini. Bukan kalam bicara yang ana ingin dengar dari kalian, tetapi ana mengharapkan redha dan maaf yang tulus dari hati kalian buat diri ana. ana tak kisah pun takde ucapan atau kata-kata maaf, apa yang sangat ana harapkan ialah doa sahabat-sahabat sekalian. Moga-moga tiada doa yang terhijab akibat dosa yang ana lakukan pada kalian..kerana untuk bersama di alam yang kekal, segala perselisihan di alam ini perlu diselesaikan… ~

Selamat meneruskan kehidupan..
Moga sentiasa tabah dan bersabar dengan apa yang dibentangkan di dunia ini.
Mudah-mudahan diberi kurnia oleh Allah SWT dengan segala perancangan hidup yang baik dan diberkati.
Segalanya kerana Allah SWT…



Wallahu’lam..
Ramadhan kareem..

1 ulasan:

Ahmad Zulfadhli Zulkefli berkata...

Selamat menjalani ibadah puasa dan banyakkan amalan2 sunat di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh baraqah ini... =)